Selasa, 16 Jun 2009

Toleransi Islam Menghasilkan Pelbagai Reka Bentuk Masjid











Toleransi Islam

Dalam Al-Quran dan hadis tidak ditentukan ketentuan tentang bagaimana bentuk dan seni bina masjid itu harus dibangunkan . Hal ini menunjukkan Al-Quran dan hadis mempunyai nilai mutu serta toleransi yang tinggi. Sebab bentuk bangunan itu pasti berkaitan rapat dengan fungsinya. Pembinaan bangunan masjid juga sangat erat dipengaruhi oleh lokasi tempat ianya dibina dan era waktu ianya didirikan. Faktor lain adalah gaya atau model bangunan juga turut mempengaruhi reka bentuknya[1] . Dalam mereka bentuk seni bina masjid selaian elemen fungsi menjadi keutamaan bagi memenuhi kegiatan aktivitinya, faktor lambang atau simbol yang digunakan menjadi persoalan utama. Persoalan apakah lambang dalam bentuk tata cara atau perilaku fizikal yang menjadi pilihan utama didalam menzahirkan reka bentuk masjid tersebut.

Antara beberapa suruhan Islam yang penting kepada umatnya ialah berfikir. Banyak ayat yang terdapat di dalam Al Qur'an yang bertujuan merangsang dan menyuruh umatnya berfikir. “Apakah kamu tidak berfikir?” “Apakah kamu tidak mengerti?”, “di dalamnya ada tanda-tanda bagi mereka yang mengerti” dan sebagainya. Begitulah murninya ajaran Islam yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. dan yang tercatat di dalam Al-Qur’an. Dari Makkah ke Madinah ... dan dari sana Islam berkembang ke seluruh pelosok Tanah Arab, Iraq, Syria, Turki, Afrika Utara hingga ke Sepanyol. Di mana sahaja ia bertapak kebudayaan Islam turut terbentuk bersama ajaran Islam itu sendiri. Kebudayaan yang kemudiannya secara sedar telah menumbuh-suburkan seni bina Islam yang secara sendiri pula memberikan pengaruh berkesan pada segenap penghidupan di negara itu [2].

Begitulah juga terjadi pada masjid sebagai unsur utama dan penting didalam seni bina Islam yang turut serta mengalami perkembangan. Faktor perkembangan ini dipercepatkan lagi dengan kehadiran pelbagai kelengkapan yang merupakan unit-unit mendatang dan baru dalam seni bina masjid. Satu perkara yang terpenting diperkatakan, di mana saja seni bina Islam berkembang ia akan berhadapan dengan proses akulturasi dengan bentuk dan seni bina tempatan. Menurut Abdul Rochym pembangunan masjid secara besar-besaran dan semegah-megahnya merupakan faktor toleransi dalam Islam asalkan tujuan utama pembangunan masjid itu tidak disisihkan [3].

Adalah satu perkara yang menarik apabila seni bina Islam begitu mudah diserapkan ke dalam seni bina tempatan dengan baik dan menyenangkan melalui satu perpaduan yang aman dan harmoni. Perkara sebegini tidak hanya terbatas pada bangunan bangunan masjid sahaja malahan termasuk binaan-binaan lain seperti istana, makam, rumah kediaman, kota dan sebagainya. Menurut Manja Mohd Ludin dan Mohd Suhaimi dalam tulisannya Aspek-Aspek Kesenian Islam, seni bina Islam mengalami dua tempoh perkembangan oleh bangsa Arab dan perkembangan oleh bangsa Turki [4].
[1] Ali Kusnun, (1995), Unsur-Unsur Filosofis Seni Bangunan Masjid Agung Demak. Semarang, hlm:19
[2] Manja Mohd Ludin dan Mohd Suhaimi.(1995), Aspek-Aspek Kesenian Islam.Dewan Bahas dan Pustaka. Kuala Lumpur, hlm :38
[3] Rochym, Abdul. (1983) Sejarah Arsitektur Islam, sebuah tinjauan. Angkasa.Bandung, hlm 4
[4] Manja Mohd Ludin dan Mohd Suhaimi.(1995), Aspek-Aspek Kesenian Islam.Dewan Bahas dan Pustaka. Kuala Lumpur, hlm :39

Terima kasih- Hari Bapa









Terima kasih semua,

tidak pernah lupa dengan penuh kasih sayang

ingatan dan cinta yang senantiasa penuh didada

moga kekal abadi selamanya

berazam menjadi Abah terbaik

Terima kasih semua.

Allah Maha Mengetahui.
Azizul Azli

Isnin, 15 Jun 2009

Perbahasan Ciri-ciri Seni Bina Islam











Perbahasan ciri-ciri seni bina Islam

Oleh Azizul Azli Ahmad

Menurut Ibnu Khaldun sebuah peradaban yang baik dilihat dari seni binanya. Apakah Taj Mahal, India yang merupakah kuburan pemaisuri Syah Jahan dengan pembangunkan monumental dan mewah itu dinilai sebagai sebuah seni bina Islam ?

Menurut Bambang Pranggono , Ketua Pusat Bandar Raya Islam dan Petempatan Manusia makam permaisuri Syah Jahan yang berbentuk masjid itu yang lebih dikenali sebagai Taj Mahal bukan merupakan simbol seni bina Islam.

Dalam syariat Islam pembangunan kuburan atau makam yang berlebihan adalah dilarang dalam Islam.

Apakah dengan hadirnya kubah pada bumbung sesebuah bangunan sudah dianggap sebagai sebuah seni bina Islam?. Islam sendiri tidak pernah meletakkan sebuah kepastian apakah seni bina Islam tersebut. Di dalam al-Quran dan Hadis Rasullulah s.a.w. tidak dijelaskan secara terperinci dan jelas apakah bentuk dan seni bina Islam.

Kubah sendiri bukannya berasal daripada kebudayaan Islam. Semasa perkembangan dan penyebaran Islam, kerajaan-kerajaan bukan Islam seperti Byzantin telah memiliki monument seni bina yang agung dan mewah.
Pemerintah Islam pada ketika itu merancang pembangunan masjid dan kota yang tidak akan tenggelam dengan kehebatan seni bina bukan Islam sebelumnya.

Oleh yang demikian, pemerintah Islam memerlukan tenaga pakar bangunan dari golongan bukan Islam untuk tujuan tersebut. Pembangunan Kubbah As-Sakrah (Dome of The Rock) di Jurusalem pada tahun 687M oleh pemerintah Dinasti Umayah, Abdul Al-Malik merupakan seni bina kubah terawal dalam Islam dengan pengaruh seni bina Byzantine yang telah dimodifikasi berdasarkan keperluan Islam.

Islamnya sesebuah karya seni bina itu dilihat dari pelbagai sudut pandangan, ada pendapat yang mengatakan bahawa secara dasarnya seluruh makhluk dialam ini sama ada binatang, tumbuh-tumbuhan ataupun benda mati termasuklah bangunan sudah Islam.

Hanya manusia dan jin yang menentukan menjadi Islam atau bukan Islam. Kerana seni bina merupakan objek yang tidak bernyawa, jadi semua seni bina dengan sendirinya Islam.

Namun, falsafah Islam tidak hanya memandang sesuatu hanya cukup dari segi zahirnya, maka batinnya juga dinilai. Dalam sebuah hadis Sesungguhnya Allah tidak memandang rupamu dan hartamu tetapi kepada hatimu dan amalmu.
Jelaslah kepada kita bahawa niat, proses pembagunan, sumber kewangan, kesan pembangunan dan perilaku-perilaku dalam pembangunan tersebut turut menjadi perhitungan Allah s.w.t. Kriteria ini haruslah berdasarkan syariat Islam, baik zahir mahupun batin. Seni bina menjadi Islam seandainya di dalamnya tidak terdapat unsur-unsur kemusyrikan, kezaliman, kemunafikan dan kekafiran didalamnya.

Menurut ahli seni bina Bambang Pranggono, beliau menetapkan kategori seni bina Islam berdasarkan bentuk luaran bagunan dan fungsi dalaman seperti berikut:

1. Bentuk luaran Islami, fungsi dalaman Islami - Seni bina Kaaffah.

2. Bentuk luaran Islami, fungsi dalaman tidak Islami - Seni bina Munafik.

3. Bentuk luaran tidak Islami, fungsi dalaman Islami - Seni bina Taqiyyah.

4. Bentuk luaran tidak Islami, fungsi dalaman tidak Islami - Seni bina Kafir.

Walaupun demikian masih memerlukan beberapa penelitian terhadap proses dan unsur yang terlibat dalam kewujudan sesebuah karya seni bina Islam.
Seni bina Islam haruslah dinilai dari kreteria umum kemudianya dilanjutkan kepada kreteria khusus tentang ciri-ciri yang disebutkan dan apakah menurut landasan dan syariat-syariat Islam.

Taj Mahal, India bukanlah merupakan sebuah masjid tetapi seringkali sejarawan memasukkan kedalam kategori masjid.
Kubbah As-Sakrah di Baitulmaqdis merupakan seni bina kubah terawal dalam Islam seringkali dikaitkan dengan pembagunan masjid sedangkan fungsinya melindungi batu besar sewaktu peristiwa Israk-Mikraj Nabi Muhammad s.a.w.

Begitu juga dengan Istana Alhambra, Bangunan Sultan Abd. Samad dengan kubah bawangnya, dijadikan rujukan para arkitek untuk membangunkan monumen penting negara. Masjid Negara, Kuala Lumpur merupakan satu contoh seni bina Islam yang baik dan demokratik. Menurut Dr. Tajuddin Rasdi, Pendekatan regionalisme (bahasa daerah) yang digunakan boleh dijadikan ideologi seni bina Islam di Nusantara.

Para arkitek perlulah memahami serta `mengenali' apakah yang sesungguhnya dianggap dengan seni bina Islam itu. Pendekatan reka bentuk ekletisme dan revivalisme dari budaya asing (Timur Tengah dan India) menunjukkan kompleks rendah diri yang ada pada umat Islam di Malaysia.

- AZIZUL AZLI AHMAD, Program Pascasarjana Arsitektur. Institut Teknologi Bandung (ITB). Indonesia.

Senibina Istimewa Jimatkan Sumber Tenaga







Seni bina istimewa jimatkan sumber tenaga




Oleh Azizul Azli Ahmad




Dari hasil beberapa kajian, ditemukan bahawa penggunaan tenaga pada bangunan dari tahun ke tahun dikatakan meningkat sekitar 5-19 peratus. Kenaikan yang paling drastik berlaku di Amerika Syarikat (AS), sebagai negara pengguna sumber tenaga terbesar di dunia. Penggunaan tenaga dikatakan hampir enam kali ganda daripada kebiasaan pada tahun 1970 hingga 1993 jika dibandingkan dengan masa sebelumnya.

Penggunaan tenaga dalam bangunan untuk tujuan pencahayaan, penyaman udara, lif dan sebagainya direkodkan hampir satu perempat daripada bekalan sumber tenaga dunia pada akhir tahun 1990-an. Lebih membimbangkan, hampir dua pertiganya didapati daripada bahan bakar, seperti minyak dan gas yang dijangkakan usia bahan mentah ini cuma akan bertahan tidak lebih daripada 100 tahun lagi.

Keadaan menjadi semakin buruk di negara-negara membangun, terutamanya di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Ini disebabkan oleh faktor ekonomi yang sedang berkembang pesat akan mendorong mereka menggunakan bahan (produk) berteknologi tinggi secara besar-besaran tanpa perlu memikirkan risiko pengurusan sumber tenaga yang banyak berasal daripada minyak.
Banyak kajian telah dilakukan di pusat pengajian tinggi serta pusat-pusat kajian terutama di Eropah Barat terhadap penekanan penggunaan tenaga dalam bangunan.

Hasil-hasil kajian ini juga telah banyak diaplikasikan pada bangunan-bangunan baru, yang mana ia berhasil dalam penjimatan penggunaan tenaga daripada 15 hingga 60 peratus dalam bangunan-bangunan yang telah dibangunkan itu.

Bangunan Brundtland Center, Denmark yang dibina pada tahun 1994 dengan keluasan lantai 1,800 meter persegi hanya menggunakan 40 peratus daripada jumlah tenaga berbanding dengan bangunan-bangunan yang tidak dirancang menggunakan konsep penjimatan tenaga.

Sementara bangunan pemerintahan Inggeris di Wesminster yang menggunakan konsep ini juga mampu menjimatkan sumber tenaga dengan hanya menggunakan sumber tenaga sejumlah 40 peratus daripada kebiasaannya.

Pemikiran yang berkembang di negara-negara Barat itu nampaknya tidak sempat berkembang di bandar-bandar negara membangun seperti Bangkok, Jakarta, Manila, Singapura dan Kuala Lumpur.
Teknologi dan pola aktiviti moden yang ada di negara membangun sebahagian besar masih tetap merupakan `salinan' dari negara Barat pada masa sebelum krisis tenaga tahun 1973, yang cukup memungkinkan ia tidak relevan dengan keadaan semasa di Malaysia.

Banyak bangunan terutama pencakar langit yang terdapat di bandar-bandar Malaysia seperti di Kuala Lumpur, dirancang dan dibangunkan tanpa mempedulikan keadaan iklim setempat. Misalnya bangunan `dibalut' sebahagian atau sepenuhnya dengan menggunakan dinding kaca tanpa diberikan penghalang terhadap kemasukan radiasi cahaya matahari secara terus. Pengetahuan yang klasik tentang `kesan rumah kaca' tidak banyak diperhatikan.

Sekiranya konsep ini diterapkan pada bangunan beriklim Tropika dan Khatulistiwa seperti di Malaysia, hasilnya akan merugikan kita: ruang dalam bangunan akan menjadi panas.
Apabila bangunan dilengkapi dengan penghawa dingin, tenaga yang diperlukan untuk menyejukkan ruang tersebut akan menjadi lebih besar. `Kesan rumah kaca' ini akan menjadikan ruang meningkat panas serta memerlukan jumlah penghawa dingin dalam kuantiti yang besar.

Penelitian yang dilakukan oleh Dr. Ir. Tri Harso Karyono pada tahun 1993 terhadap beberapa bangunan yang menggunakan penghawa dingin di Jakarta menunjukkan bahawa, penggunaan tenaga elektrik pada bangunan yang mempunyai penghadang matahari mencapai 30 peratus hingga 50 peratus lebih rendah berbanding dengan bangunan yang tidak menggunakan penghadang matahari.

Daripada data ini menunjukkan bahawa penggunaan sumber tenaga elektrik akan meningkat pada bangunan yang menggunakan penghawa dingin tanpa menggunakan penghadang matahari. Cahaya yang diterima terus `kesan rumah hijau' menjadikan suhu meningkat dengan mendadak, penghawa dingin terpaksa ditingkatkan agar suhu di dalam bangunan menjadi stabil dan selesa kepada pengguna.

Para arkitek kita perlulah sedar dengan tidak hanya membuat `salinan' terhadap apa yang berlaku di Barat dan semuanya dianggap `kemajuan'. Dengan ini kita dapat mengelak daripada berlakunya kesalahan interpretasi dalam mencontohi negara Barat.
Ini juga gagasan pemikiran modernis bahawa negara kita akan dianggap maju seandainya memiliki wajah yang `mirip' dengan apa yang berlaku di Barat, tentu akan lebih banyak salahnya. `Menciptakan' karya seni bina yang mirip secara visual dengan yang terdapat di negara lain dengan iklim yang lain, hanyalah satu pemaksaan. Kita perlu membayar dengan harga yang mahal dari sumber tenaga kita akibat kegagalan arkitek memahami serta kesalahan interpretasi dalam seni bina ini.

- Azizul Azli Ahmad, Program Pascasarjana Arkitektur, Institut Teknologi Bandung, Indonesia.






Masjid Nusantara - Simbol dan perlambangannya
Oleh AZIZUL AZLI AHMAD

Seni bina masjid Nusantara lahir dengan penampilan reka bentuk yang diadaptasikan daripada kebudayaan setempat seperti di Jawa, Filipina, Selatan Thailand dan Tanah Melayu. Bahasa seni bina yang dihasilkan memiliki ciri tersendiri serta bebas daripada gaya-gaya seni bina dari Timur Tengah dan India.

Susun atur ruang masjid Islam di Nusantara tidak mempunyai ruang halaman lapang seperti yang biasa terdapat di Timur Tengah.

Masjid Kampung Laut (dibina sekitar 1700 Masihi) Kota Baru dan Masjid Agung Demak (1479M) di Jawa Tengah lebih memberikan penekanan kepada ruang tengah atau dewan sembahyang yang didirikan di bawah bumbung berbentuk piramid atau atap tumpang yang mempunyai tiga lapisan bumbung.
Pada masjid-masjid tradisi di Indonesia, biasanya terdapat kolam (parit) yang mengelilinginya, selain berfungsi sebagai tempat berwuduk dan pembersihan juga dikatakan merupakan lambang samudera.

Di samping berfungsi sebagai rumah ibadat, masjid juga mengandungi makna simbolik yang berisi ajaran-ajaran Islam.

Unsur-unsur simbolisme tersebut banyak tersimpan pada bentuk seni bina masjid dan hiasan yang terdapat pada bangunan masjid, sama ada yang bersifat konstraktif mahupun dekoratif.

Prinsip reka bentuk Masjid Kampung Hulu, Melaka menurut Halim Nasir berasaskan reka bentuk Masjid Agung Demak, namun bentuk menara dan bumbung Masjid Kampung Hulu mirip kepada bentuk pagoda (rumah ibadat Cina) atau gaya seni bina Cina.

Mengenai bentuk atap bertingkat (tumpang), merupakan adaptasi dari bangunan Meru yang banyak dikenali semasa pra-Islam. Menurut Saekomo, atap tumpang merupakan perkembangan daripada bentuk candi yang memiliki pelan segi empat tepat dan selalu bersusun, atau dari puncak bangunan stupa yang ada kalanya disusun sebagai payung-payung yang terbuka. Bagaimanapun Hamka mentafsirkan makna simbolik atap tumpang sebagai tingkat ajaran sufiesma.


Atap tingkat paling bawah serta lantai merupakan lambang syariat dan amalan perbuatan manusia, atap tingkat kedua lambang tarikat iaitu jalan untuk mencapai keredhaan Allah, atap tingkat ketiga lambang hakikat iaitu roh atau hakikat daripada amalan manusia, dan puncak merupakan lambang makrifat, iaitu tingkat mengenal Allah yang Maha Tinggi.


Pada bahagian puncak atap masjid (maksura) biasanya terdapat hiasan atau simbol berbentuk bulan bintang, kalimah Allah dan sebagainya. Bulan bintang merupakan lambang cita-cita perkembangan Islam. Lambang ini mula muncul semasa pemerintahan Umar bin Khattab.

Ketika itu kawasan di sekitar Laut Tengah dianggap sebagai pusat peradaban dunia. Jika kawasan itu dijadikan sebagai titik pusat dan kemudiannya ditarik garis lengkung dari Eropah hingga seluruh kawasan Asia akan membentuk bulan sabit.

Cita-cita perkembangan Islam ketika itu berpusat di Jerusalem dan disebarkan ke Eropah melalui Selat Bosporus dan Constantinople, ke arah timur melalui Iraq hingga kawasan Asia Tenggara. Pada pertemuan dua lingkungan ini terdapat bintang bersudut lima sebagai lambang Islam dan rukun-rukunnya yang gemilang ketika itu.

Tulisan lafaz Allah pada puncak atap memperlihatkan bahawa Allah maha Tinggi sering dalam perwujudan dan perlambangannya lafaz Allah berdiri sendiri tanpa di lingkupi oleh bentuk lain. Perkara ini melambangkan hanya Allah yang diingati atau dituju semasa bersolat.

Allah merupakan zat yang maha Tinggi dan maha segala-galanya. Allah tidak dilingkupi oleh unsur-unsur lain tetapi melingkupi unsur-unsur yang ada di alam ini.

Kebanyakan masjid moden hari ini menggunakan kubah sebagai perlambangan masjid. Kubah bukannya pra syarat dalam pembinaan bangunan masjid serta wajib atau sunat dalam amalan Islam.

Pembangunan kubah dalam sesuatu masjid hendaklah diperhatikan menurut ketentuan bangunan masjid tersebut agar pembinaan kubah tidak sehingga membazir, tidak mengganggu imam ketika bacaan dalam sembahyang serta khutbah dan sebagainya.

Namun demikian masyarakat Islam hari ini telah menganggap bangunan berkubah sebagai identiti dalam pembangunan masjid. Ini merupakan kegagalan para arkitek di Malaysia dengan membentuk suatu perlambangan yang dianggap `wajib' oleh umat Islam.

Allah melarang keras perkara-perkara yang membazir sebagaimana firmannya Dan janganlah engkau membazir hartamu secara tidak bermanafaat.
(Al-Isra': 26)

Sesungguhnya orang yang membazir hartanya itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya. (Al-Isra':27)
Setiap bangunan masjid seharusnya memiliki perlambangan serta fungsi yang tersendiri dalam menggunakan setiap bahagian tanah ataupun bahan
binaan untuk pembangunan masjid
hendaklah dihindari daripada kemung-
kinan berlebih-lebihan sebagaimana
firman Allah:
Dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan.
(Al-An`am: 141)

Perkara ini juga bukannya bererti bahawa sesuatu bangunan masjid harus dibangunkan dengan bahan binaan dan biaya yang sangat murah dan rendah kerana setiap perbelanjaan harta dengan cara bakhil juga tidak dibenarkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya:

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil, akan tetapi perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.
(Al-Furqan : 67)

Walau bagaimanapun perlu kefahaman dan penelitian yang mendalam dalam pembangunan masjid. Cendekiawan Islam Dr. Yusof Qardhawi dalam tulisannya Masjid dan Pembangunan, melarang pembangunan masjid yang menyerupai bangunan-bangunan bukan Islam serta hilang identiti Islam pada bangunan tersebut.

Masjid seharusnya mewakili kefahaan masyarakat serta berfungsi dengan baik terhadap lingkungannya.

- AZIZUL AZLI AHMAD, Program Pascasarjana Arsitektur, Institut Teknologi Bandung, Indonesia.

Sejarah Menara Masjid Nusantara







Sejarah menara Masjid di Nusantara

Oleh AZIZUL AZLI AHMAD

Perkataan `menara' berasal daripada kata `nar' yang bermaksud `api'. Pada zaman dahulu, api dipasang pada menara tinggi untuk menandakan masuknya waktu sembahyang, iftar dan imsak serta sebagai pengumuman sesuatu perkara penting.

Pemasangan api dapat berfungsi dengan baik. Ia dapat dilihat pada jarak yang berbatu-batu jauhnya.

Menara atau `minaret' dalam bahasa Inggeris bermaksud sebuah struktur tinggi yang menjadi sebahagian dari masjid dan mempunyai fungsi khusus sebagai tempat muazin melaungkan azan.

Sejarah laungan azan telah wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w. Baginda mengarahkan Bilal Ibnu Rabah memanjat bumbung masjid agar melaungkan azan.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa pada suatu ketika Rasulullah sedang memikirkan tentang cara terbaik untuk memanggil kaum Muslimin untuk bersembahyang.

Ada yang mencadangkan gendang dan loceng tetapi Baginda tidak menyukainya kerana ia meniru cara orang Kristian dan Yahudi.
Pembangunan menara masjid tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. Diperkirakan oleh sejarawan bahawa pembangunan menara masjid bermula sejak zaman Muawiyah ketika syiar Islam di negara-negara lain mula berkembang.

Pembangunan masjid pada waktu itu juga merupakan sebagai simbol kegemilangan perkembangan Islam. Bangunan-bangunan yang terdapat pada kerajaan bukan Islam pada waktu itu telah memiliki menara untuk menempatkan loceng dan gendang.

Masjid-masjid tradisi yang dibangunkan di Nusantara asalnya tidak memiliki menara. Faktor geografi menjadikan pembangunan menara kurang berfungsi dan tidak praktikal di lingkungan ini.

Kedudukan lokasi, gunung-ganang, pohon-pohon yang rimbun dan kondisi iklim menjadi halangan kepada suara muazin untuk sampai pada tempat yang jauh.
Tidak menghairankan apabila masjid-masjid tradisi di Nusantara kebanyakannya tidak memiliki menara. Seringkali terdapat pembangunan masjid dan menara tidak dibangunkan pada waktu yang sama.
Menara Masjid Agung Demak (1479M), masjid tertua di Nusantara misalnya dibangunkan pada waktu yang berbeza.

Menara masjid tersebut dibangunkan pada zaman penjajahan Belanda tahun 1912. Menara Masjid Kampung Laut, Kelantan dan Masjid Kampung Hulu, Melaka memiliki keunikan tersendiri.

Menara Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Kling dan Masjid Tengkera, di Melaka memiliki gaya seperti Pagoda di China.
Di Indonesia masjid yang memiliki menara pada asal pembangunannya hanya Masjid Kudus, di Jawa Tengah.

Masjid ini memiliki sejarahnya yang tersendiri. Ia dibangunkan sejak zaman sebelum kedatangan Islam. Proses Islamisasi telah merubah fungsi sebuah candi Hindu menjadi masjid, melahirkan gaya menara yang tersendiri.
Keunikan sejarah ini juga menjadikan orientasi kiblat masjid ini tidak tepat ke arah kiblat.

Masjid Agung Banten, Jawa Barat memiliki menara yang berfungsi sebagai rumah api bagi kawasan sekitarnya. Lokasi Banten yang terletak di persisiran pantai menjadikan menara masjid itu berfungsi sebagai rumah api, membantu pelayaran kapal dagangan.

Reka bentuk menara masjid yang dibangunkan oleh orang Belanda tersebut masih memiliki pengaruh Belanda dan kesenian Indonesia.
Implikasi kefahaman tentang asal-usul menara terhadap reka bentuknya pada masa kini masih merupakan suatu simbol atau mesej penting tentang kewujudan sebuah masjid di sesuatu tempat.

Walaupun fungsi menara hari ini bukan merupakan sebuah tempat untuk menyalakan api dan muazin melaungkan azan, ia masih menjadi simbol penting kepada bahasa seni bina dan sebagai petunjuk arah kepada musafir tentang kewujudan sesebuah masjid.

- AZIZUL AZLI AHMAD, Program Pascasarjana Arsitektur, Institut Teknologi Bandung

Senibina Masjid - Antara fungsi dengan simbolisme







Senibina masjid - Antara fungsi dengan simbolisme




Oleh AZIZUL AZLI AHMAD




MASJID Quba adalah masjid yang mula-mula dibina oleh Rasulullah s.a.w.
MASJID bermaksud tempat bersujud atau bersolat, yang berasal daripada perkataan sajada.
Dalam pengertian ini masjid bukan hanya sebagai tempat solat tetapi sebagai tempat ibadah dalam pengertian yang luas.

Dalam memenuhi fungsi tersebut, perlu ada keseragaman di dalam bahasa senibina untuk tujuan beribadah dengan fungsi bangunan.
Berdasarkan kepada perkembangan senibina masjid, kini dapat diklasifikasikan masjid kepada empat kategori:

1. Masjid dengan penampilan reka bentuk berkubah seperti senibina yang terdapat di al-Hamra, Sepanyol atau Asia Barat.

2. Masjid dengan penampilan reka bentuk yang diadaptasikan daripada kebudayaan setempat seperti di Jawa, China dan lain lain.

3. Masjid generasi pertama yang dibangunkan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

4. Masjid dengan bentuk penampilan moden atau keluar daripada gaya senibina yang klasik.

Adanya keempat-empat klasifikasi ini menandakan bahawa senibina masjid lebih bebas jika dibandingkan dengan senibina bangunan keagamaan yang lain.
Meskipun demikian dalam hal pembinaan masjid terdapat beberapa perkara asas yang perlu di pentingkan iaitu sebagai tempat ibadat. Ibadat di sini bukannya dalam erti kata solat semata-mata sebaliknya mempunyai pengertian yang luas tentang konsep ibadat.
Membaca, menuntut ilmu, memakai pakaian yang indah, berseloka bersama isteri juga dinilai sebagai ibadat, seandainya dibatasi perilaku yang ditetapkan oleh syariat.

Di dalam senibina antara unsur yang sering diperhatikan merupakan bumbung bangunan tersebut, unsur ini paling kuat memberikan karakter kepada sesebuah senibina.
Bayangkan bangunan Perpustakaan Negara tanpa bumbungnya, bagaimana jika Panggung Negara yang dikatakan menggunakan sirih junjung tanpa junjungannya, apakah masih berfungsi sebagai Panggung Negara? Bumbung bukan sahaja berfungsi sebagai melindungi panas dan hujan semata mata tetapi juga menjadi media ekspresi estetika dan perlambangan .
Dalam sejarah perkembangan kebudayaan Islam, masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat solat semata mata. Rasulullah dalam membina masyarakat menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat Islam pada ketika itu. Meskipun demikian, masjid sebagai tempat suci tetap terpelihara kesuciannya.
Oleh kerana itu terdapat perkara-perkara tertentu yang dilarang dilakukan di masjid.
Salah satu hadis pernah menyebut bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melarang orang ramai berurusan jual-beli di masjid meskipun dengan secara lisan (seperti perjanjian jual beli), dan Baginda Rasulullah menyuruh orang yang melihat agar semoga Allah tidak memberikan keuntungan kepada orang yang berjual-beli di masjid. (Riwayat Tirmizi daripada Abu Hurairah).

Firman Allah di dalam al-Quran surah al-Jumuah ayat 9-10 menyebut: Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingatkan Allah (solat) dan tinggalkanlah jual-beli. Kerana yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahuinya.
Apabila telah menunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah kurniaan Allah serta sentiasa mengingati Allah banyak banyak supaya kamu memperoleh keuntungan.

Dalam ayat di atas jelas sekali bahawa amalan berjual beli haruslah dilakukan di luar masjid. Dalam hadis yang lain Nabi Muhammad s.a.w. amat melarang orang yang berada di dalam masjid mengeraskan suaranya, meskipun ketika sedang membaca al-Quran, kerana suara yang keras dapat mengganggu orang yang sedang solat.

Dengan demikian jelaslah bahawa meskipun masjid mempunyai banyak fungsi, tetapi dalam perkara-perkara tertentu ada yang dilarang keras untuk dilakukan di dalam masjid.

Sehubungan dengan fungsi masjid sebagai pusat aktiviti umat Islam, maka bahasa senibina yang digunakan seharusnya diterima mudah masyarakat setempat. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. masjid yang mula-mula dibina merupakan Masjid Quba, senibinanya sangat sederhana, berbentuk segi empat dengan bahagian hadapannya ditutupi dengan atap daripada pelepah kurma, sedangkan di bahagian belakang tidak berbumbung langsung. Bentuk ini kemudiannya dijadikan dasar serta panduan kepada senibina masjid seterusnya.

Dalam perkembangan kini, bersesuai dengan pemikiran manusia yang melalui proses transformasi, senibina masjid juga mengalami perubahan dan perkembangan dalam memenuhi fungsinya sebagai sebuah masjid .

Dalam sesebuah masjid terdapat khusus tempat solat yang disebut livan, di bahagian kiri dan kanan livan terdapat bangunan memanjang yang disebut ruwak. Bahagian bahagian ini berfungsi sebagai tempat persinggahan musafir untuk beristirehat, tempat untuk mengaji al-Quran dan tempat bermusyawarah. Di tengah-tengah ruang masjid terdapat ruang terbuka (tanpa bumbung) yang disebut shan.

Halaman ini berfungsi sebagai tempat perhimpunan dalam kelompok yang ramai dan kadang kala digunakan juga untuk tujuan latihan peperangan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Susun atur ruang masjid Islam di Nusantara tidak mempunyai ruang halaman lapang (shan) seperti yang biasa terdapat di Asia Barat. Masjid Kampung Laut di Kota Baru (dibina sekitar 1700 Masihi) dan Masjid Agung Demak (1479M), di Jawa Tengah lebih memberikan penekanan kepada ruang tengah atau dewan sembahyang yang didirikan di bawah bumbung berbentuk piramid atau atap tumpang yang mempunyai tiga lapisan bumbung.

Pada masjid-masjid lama biasanya terdapat kolam (parit) yang mengelilinginya, selain berfungsi sebagai tempat berwuduk juga dikatakan merupakan lambang samudera, Doktrin kosmologi pada ajaran Hindu dan Buddha yang menyatakan bahawa alam ini dikelilingi oleh tujuh samudera yang berpusat di Mahameru, dengan demikian lengkaplah bahawa masjid merupakan lambang makrokosmos.

Di samping berfungsi sebagai masjid, ia juga mengandungi makna simbolisme yang berisi ajaran-ajaran Islam. Unsur-unsur simbolisme tersebut banyak tersimpan pada bentuk senibina masjid dan hiasan yang terdapat pada bangunan masjid, sama ada yang bersifat konstruktif mahupun dekoratif.
Prinsip rekabentuk Masjid Kampung Hulu, Melaka adalah berasaskan rekabentuk Masjid Agung Demak, namun bentuk menara dan bumbung Masjid Kampung Hulu mirip kepada bentuk pagoda (rumah ibadat Cina) atau gaya senibina Cina.

Mengenai bentuk atap bertingkat (tumpang), merupakan adaptasi daripada bangunan Meru yang banyak dikenali semasa pra-Islam. Menurut Saekomo, atap tumpang merupakan perkembangan daripada bentuk candi yang denahnya bujur sangkar dan selalu bersusun, atau dari puncak bangunan stupa yang ada kalanya disusun sebagai payung-payung yang terbuka.

Bagaimanapun Hamka mentafsirkan makna simbolisme atap tumpang sebagai tingkat ajaran sufiesme. Atap tingkat paling bawah serta lantai merupakan lambang syariat dan amalan perbuatan manusia, atap tingkat kedua lambang tarekat iaitu jalan untuk mencapai keredhaan Allah, atap tingkat ketiga lambang hakikat iaitu roh atau hakikat daripada amalan perbuatan manusia, dan puncak merupakan lambang makrifat, iaitu tingkat mengenai Allah yang maha tinggi.

Pada bahagian puncak atap masjid biasanya terdapat hiasan atau simbol berbentuk bulan bintang, lafaz Allah dan sebagainya. Bulan bintang merupakan lambang cita-cita perkembangan Islam, lambang ini mula muncul semasa pemerintahan Umar bin Khattab, ketika itu kawasan di sekitar Laut Tengah dianggap sebagai pusat peradaban dunia.

Jika kawasan itu dijadikan sebagai titik pusat dan kemudiannya ditarik garis lengkung dari Eropah hingga seluruh kawasan Asia akan membentuk bulan sabit.

Cita-cita perkembangan Islam ketika itu berpusat di Jerusalem dan disebarkan ke Eropah melalui Selat Bhosporus dan Konstantinopel, ke arah timur melalui Iraq hingga kawasan Asia Tenggara.
Pada pertemuan dua lingkungan ini terdapat bintang bersudut lima sebagai lambang Islam dan rukun-rukunnya yang gemilang ketika itu.
Tulisan lafaz Allah pada puncak atap memperlihatkan bahawa Allah Maha Tinggi sering dalam perwujudan dan perlambangannya lafaz Allah berdiri sendiri tanpa dilingkupi bentuk lain.

Perkara ini melambangkan Allah sahaja yang diingati atau dituju semasa bersolat. Allah merupakan zat yang maha tinggi dan maha segala galanya. Allah tidak dilingkupi oleh unsur-unsur lain tetapi melingkupi unsur-unsur yang ada di alam ini.

Kebanyakan masjid moden hari ini menggunakan kubah sebagai perlambangan masjid. Kubah bukannya syarat dalam pembinaan bangunan masjid serta wajib atau sunat dalam amalan Islam. Pembangunan kubah dalam sesuatu masjid hendaklah diperhatikan menurut ketentuan bangunan masjid tersebut agar pembinaan kubah tidak sehingga membazir, tidak mengganggu imam ketika bacaan dalam sembahyang serta khutbah dan sebagainya.

Namun demikian masyarakat Islam hari ini menganggap bangunan berkubah sebagai identiti masjid. Ini merupakan kegagalan para arkitek di Malaysia dengan membentuk suatu perlambangan yang dianggap `wajib' oleh umat Islam. Allah melarang keras perkara-perkara yang membazir sebagaimana firmannya: Dan janganlah engkau membazir hartamu secara tidak bermanfaat. (Al-Isra 17:26)

Sesungguhnya orang yang membazir hartanya itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya. (Al-Isra 17:27)
Setiap bangunan masjid seharusnya memiliki perlambangan serta fungsi yang tersendiri secara fungsional dan optimal, dalam menggunakan setiap bahagian tanah ataupun bahan binaan untuk pembangunan masjid hendaklah dihindari daripada kemungkinan berlebih-lebihan sebagaimana firman Allah: Dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan. (Al-An`am 6:141)

Perkara ini juga bukannya bererti bahawa sesuatu bangunan masjid harus dibangunkan dengan bahan binaan dan biaya yang sangat murah dan rendah, kerana setiap perbelanjaan harta dengan cara kedekut (bakhil) juga tidak dibenarkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya: Dan orang yang apabila membelanjakan harta, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil (kikir), akan tetapi perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.
(Al-Furqan 25:67)

- AZIZUL AZLI AHMAD, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Cawangan Perak.