Khamis, 13 Ogos 2009

Bersangka Baik

Azamin Amin Tue Jun 30, 09 1:08:41 pm MYT

"While people sleep, we work. While people work, we work ahead,"


Saya tidak akan lupa kata-kata itu. Ianya terucap kira-kira 15 tahun lalu oleh pengetua kolej Mr. PMS Jassal ketika saya menekuni pengajian A-Level, jurusan undang-undang di Juara Academy College di ibu kota. Waktu itu, saya adalah pelajar Melayu tunggal dan 'tunggul' dalam kelas seramai 30 orang itu. Berkecamuk fikiran pada hari pertama saya mendaftar.

Masakan tidak, sudahlah 'solo' ditambah pula dengan 'sepatah haram' saya tidak memahami apa yang diajar. Bukan sehari tetapi berjangkit sehingga lebih sebulan! Tidak cukup dengan itu, saya sering menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelas dan pensyarah lantaran kegagalan saya untuk membuat 'presentation' jauh sekali untuk mendapat tempat teratas dalam carta kelas. Lebih menambahkan pedih dan pilu di jiwa, apabila seorang pelajar yang selalu dianggap 'best student' dalam kelas mencabar sambil menghunuskan jari telunjuknya tepat ke muka saya.

"At the end of the day, nobody can touch me, especially you!" katanya pada saya, terkelipot-kelipot malu. Seorang pelajar wanita pula, bertaruh untuk menjamu saya makan di hotel lima bintang, sekiranya berjaya mendapat keputusan cemerlang. Saya percaya, dia berani bertaruh kerana yakin yang saya tidak akan menggapai bintang. Betul-betul menghinakan.

Kawan-kawan seperti Manoj Kumar, Manimaran, Azman Sagau dan Ronnie menenangkan saya. Mereka memberi perangsang dan selalu membantu, apa yang saya tidak tahu. Setelah enam bulan berlalu di kolej itu, saya sering bertemu dengan pensyarah Baljit Singh Sidhu untuk mendapat 'evaluation' atau penilaian ke atas prestasi pengajian saya selama ini dan seperti yang dijangkakan jawapannya cukup mendukacitakan. "Aaa...don't worry. Bottom line, you boleh pass...," katanya tergesa-gesa.

Sedih. Bukannya pangkat A, B atau C tetapi sekadar lulus cukup makan sahaja.. Suatu malam, ketika gelisah untuk melelapkan mata dan merawang masa depan yang kabur, tertangkap kalimah kudus dari ibu tercinta sebagai kata-kata azimat ketika menjejak kaki di ibu kota untuk menuntut ilmu. "Mak tak boleh tengok dan jaga anak mak setiap masa. Mintalah Allah supaya jaga dan selamatkan anak mak. "Jika susah, mintalah pada Allah, pasti Dia perkenankan. Percayalah..." kata Azizah Jasin, ibu tercinta kepada saya sambil memetik bait-bait ayat kalimah tuhan. "Dan Tuhan kamu berfirman:

"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Surah Ghafir ayat 60)

Saya bingkas, lalu mengerjakan solat dua rakaat. Tewas, akhirnya air mata basah di hujung sejadah. Mulai hari itu, saya tidak menoleh lagi. Saya berusaha sedaya dan sekuat mungkin. Kamus sentiasa di sisi, tiap kali saya membuka buku.

Buku seperti English Legal System, Constitutional Law, Jurisprudence setiap helaiannya saya ulangi sampai lapan kali! Malah, saya hantar tugasan-tugasan dan 'asignment' sendiri berkajang-kajang kepada pensyarah untuk disemak, bertanya soalan-soalan bertubi-tubi sehingga kelihatan 'membosankan' bagi mereka.Saya kemudian beranikan diri bercakap di khalayak, walaupun 'broken English.' "Apa nak malu, janji saya maju.

Biar mereka ketawa atau sendawa, janji saya berjaya," getus hati cuba menceriakan hari. Waktu itu, barulah saya tahu, doa dan kerja keras (rajin, usaha) adalah pembuka jalan kejayaan. Mungkin ini ayat 'cliche' atau 'stereotype'. Hakikatnya hidup ini tidak ada yang 'short cut'. Selepas doa itu, setiap apa yang saya pelajari, hafal dan faham datang dengan begitu mudah. Dikenal ketika senang, dilupa ketika susah "While people sleep, we work. While people work, we work ahead," kata Jassal menepuk-nepuk bahu saya yang kelihatan agak sugul adakalanya.

Dan di saat saya menjalani proses lipat kali ganda usaha, baru saya tahu bahawa kerajinan orang Cina dan orang Putih atau kaum-kaum lain membuatkan mereka berjaya. Bukannya faktor otak Cina lebih baik dari otak Melayu atau otak Orang Putih lebih baik dari semua otak-otak. "Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut keupayaannya. Baginya apa yang diusahakan dan ke atasnya akibat apa yang diusahakan." (Surah Al-Baqarah: 286) Begitu juga dengan surah Ar-Ra'ad (ayat 11):

"Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya."

Ya, saya yakin doa akan dimakbulkan tuhan. Usaha gigih dapat balasan setimpal. Tak kira siapa, Melayu, Cina, India dan Mat Salleh juga akan dapat balasan, jika usaha lebih. Bukan masalah otak. Dulu ketika mengerjakan umrah, saya pernah berdoa yang 'bukan-bukan' di depan Kabaah. Ketika itu, tahun 1990 usia saya menjangkau 16 tahun. Akibat terlalu obses dengan cerita-cerita aneh, mistik dan misteri di Makkah dan Madinah, saya mula memanjatkan doa, untuk melihat bukti kuasa Tuhan. "Ya Allah, jika benar makbul doa di sini, hilanglah seliparku." Begitu dangkal doa saya dan cuba menguji Tuhan. Sebelum itu telah saya sorokkan selipar buruk itu di suatu sudut di pintu masuk Masjidil Haram.

Ringkaskan cerita, Tuhan makbulkan permintaan saya yang pendek akal itu. Hilang selipar saya, walaupun ianya buruk. Dan lebih parahkan lagi keadaan, selipar saya hilang setiap kali saya beli yang baru, dan berlanjutan selama enam hari! Mengelabah, pucat dan panik saya dibuatnya. Saya cuba menyembunyikan peristiwa itu daripada ayah saya, yang mula kehairanan apabila setiap hari, tiap kali pulang daripada masjid meminta 5 ke 10 Riyal (lebih kurang RM 5.00 ke RM10.00).

Tujuannya hanya untuk membeli selipar baru. Pernah sekali, saya berkaki ayam dari Masjidil Haram pulang ke tempat penginapan sambil ditertawakan orang Arab yang lalu lalang. Apa boleh buat, itu balasan Allah, pada saya yang mulut celupar. Dua hari terakhir di Makkah, saya berteleku di depan Kabaah, memperbaharui doa semula dengan penuh rasa insaf.. Sejak doa itu, selipar saya tidak hilang lagi. Ya, Allah sentiasa selamat dan perkenankan doa saya. Begitu juga yang orang lain. Berusaha dan mintalah, percayalah Allah tidak mengecewakan... Alhamdullillah, tidak menghampakan apabila Allah kabulkan juga doa saya untuk melintasi peperiksaan A-Level yang diduduki. Walaupun usaha tidak setara mana, tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Ketika keputusan A-Level diumumkan, saya sedang 'bercuti' dan 'mengaji' di sebuah sekolah pondok di selatan tanahair. Manoj dan Manimaran menghubungi saya melalui telefom awam. Masa itu tidak bercambah lagi, telefon bimbit.

"Congratulations! You and Patricia are the best student in the college. Come drop by, take your exam transcript," ujar Manoj. Barangkali kedua-duanya kini sudah bergelar peguam. Keesokannya saya sudah terpacak di kolej di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur itu untuk mengambil keputusan dan teka apa yang berlaku?

Pensyarah dan pengetua mula mengerumuni. Menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan melahirkan pujian berguni-guni. Yang menghunus jari telunjuk ke muka, yang bertaruh untuk menjamu selera dan yang gelak ketawakan saya, hilang entah ke mana. Ya, kita dikenang dan dikenal ketika di puncak. Diapung, diangkat dan dijulang ketika senang. Namun ketika susah, pahit dan payah, siapa pun tidak tahu malah menjarakkan diri, kata benak saya melihat watak-watak yang ada di depan mata.

Biarlah... Ya, akhirnya bila kita berusaha, berdoa dan bersabar, nescaya Allah perkenankan dan selamatkan kita...percayalah. "Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar. " (Surah al Baqarah ayat 155)

Tulisan sepicing ini ataupun coretan caca marba yang tidak seberapa ini saya tujukan ikhlas untuk adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan, yang melanjutkan pelajaran di menara gading dan juga untuk insan-insan yang mulai rasa putus asa, agar sentiasa bersangka baik kepada Tuhan, Allah yang maha tahu beban, kepayahan dan ujian hamba-Nya. - azm

P.s Pengalaman dan iktibar yang baik untuk pedoman hidup kita bersama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan