Rabu, 12 Ogos 2009

H1N1: Rakyat keluh-kesah

SAYA seorang pegawai perubatan di sebuah klinik swasta. Saban malam saya dihantui berita "28,000 rakyat Malaysia dijangka akan mati kerana jangkitan influenza A H1N1 dalam tempoh 2 tahun" yang dinyatakan oleh seorang pakar perubatan melalui satu saluran berita popular di Internet.
Saya terfikir seandainya yang menjadi mangsa tersebut adalah di kalangan orang-orang yang saya sayang dan rapat dengan saya, betapa sedihnya saya ketika itu.
Saban hari pula kita disajikan dengan berita kematian seorang demi seorang rakyat Malaysia kerana jangkitan H1N1 ini.
Namun, nampaknya pihak kementerian dan kerajaan Malaysia masih belum mengambil langkah drastik untuk mengawal penularan virus ini.
Penyakit ini memang mudah merebak, namun saya merayu pihak Kementerian Kesihatan terutama sekali Menteri Kesihatan; Datuk Liow Tiong Lai tolong fokuskan kepada cara mengawal @ meminimumkan penyebaran penyakit ini bukan sekadar membasuh tangan dengan bersih dan memakai penutup muka sahaja.
Lakukanlah pengesanan awal dengan ujian throat swab untuk semua pesakit yang suhunya melebihi 38 darjah celsius disertai simptom-simptom batuk/selesema/sakit tekak walaupun baru tiga hari demam, kerana pesakit yang positif H1N1 akan menjadi penyebar virus pada hari pertama lagi beliau demam.
Lebih awal dikesan, lebih awal dapat dimulakan rawatan dan berkuranglah penyebaran kepada orang lain yang sihat. Kenapa perlu tunggu sehingga pesakit masuk wad atau dah kritikal baru nak dibuat saringan. Kenapa? Kerajaan tak cukup duitkah hendak menampung ujian tersebut?
Sedarlah ini adalah 'tsunami' yang bukan berbentuk ombak besar yang dapat dilihat dengan mata kasar tapi virus yang amat halus yang berterbangan dengan membawa impak yang amat besar.
Tolonglah. Berilah perhatian pada masalah ini, rakyat tidak bimbang lagi siapa yang akan menang di Permatang Pasir, tapi rakyat lebih bimbangkan kesihatan mereka, suami/isteri dan anak-anak mereka.
Melaburlah lebih sedikit untuk mengesan lebih awal influenza A H1N1 ini agar rawatan (antiviral) dapat diberi lebih awal, dengan itu dapat mengurangkan penyebarannya dan kurangkanlah perbelanjaan negara dalam hal-hal yang kurang penting seperti majlis-majlis keraian atau yang berbentuk hiburan.
Rata-rata pakar perubatan, para doktor dan staf kesihatan yang lain hanya menunggu arahan daripada pihak kementerian untuk menjalankan ujian saringan awal ini untuk membantu rakyat mendapatkan rawatan awal yang terbaik
Sama-samalah kita membanteras influenza A H1N1. Setiap penyakit diciptakan Allah, ada penawarnya, kecuali mati.
DOKTOR RISAU

Tiada ulasan:

Catat Ulasan