Jumaat, 3 Julai 2009

Budaya Masjid: Simbol Kehadiran Islam








PENGENALAN KEBUDAYAAN

Kebudayaan, di mana pun senantiasa mengalami perubahan. Kebudayaan ada yang berkembang dan dibakukan dalam tradisi-tradisi sosial suatu masyarakat[1]. Oleh itu dapat dikatakan bahawa sifat kebudayaan adalah berubah atau tumbuh dan berkembang sebagai hasil proses adaptasi manusia terhadap persekitarannya. Kebudayaan sentiasa menyesuaikan dirinya dengan perubahan setiap masa. Tidak ada yang kekal padanya walau ada yang terus menerus mempertahankanya. Segala aspek kehidupan di dunia ini harus beredar dilandasan perubahan mengikut keadaan sosial masyarakat. Dalam rekabentuk masjid, ianya terus bergerak dan mengiringi dinamika perkembangan zaman, sebab kehidupan dunia ini tidak akan berakhir kecuali apabila dunia ini telah sempurna keindahanya dan manusia telah mengenakan semua perhiasannya (lihat Al-Quran, Qs. Yunus:24)

Secara garis besar perubahan kebudayaan (cultural change) dapat dibezakan antara perubahan kebudayaan yang terjadi kerana faktor dalaman yang terjadi kerana faktor luaran. Masuknya pengaruh agama-agama dan budaya besar terhadap bangsa di Asia Tenggara seperti agama Hindu, Buddha, Islam, Kristen, budaya Asia dan Eropa juga telah menimbulkan sifat pluralistik yang kompleks kerana percampuran, akulturasi, antara budaya asli dengan budaya asing, antara budaya dengan agama, pada sebahagian masyarakat di Asia Tenggara. Hal ini telah menjadi faktor penting yang mempengaruhi kehidupan bangsa [2] .

Akulturasi, mempunyai berbagai erti di antara para sarjana antropologi, tetapi semua sefahaman bahawa konsep itu mengenai proses sosial yang timbul bila suatu kelompok manusia dengan suatu kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur-unsur dari suatu kebudayaan asing sedemikian rupa, sehingga unsur-unsur kebudayaan asing itu lambat laun diterima dan diolah ke dalam kebudayaan sendiri tanpa menyebabkan hilangnya kepribadian kebudayaan itu sendiri [3] . Proses penyaringan kebudayaan asing ini disebut juga integrasi kebudayaan. Perubahan kebudayaan kerana akulturasi tersebut, secara nyata yang dimaksudkan adalah perubahan dalam wujud-wujud kebudayaan [4] .

Sejarah membuktikan bahawa karya senibina telah bergerak seiring dengan dinamika sosial budaya masyarakat di setiap waktu dan tempat. Senibina adalah ciptaan manusia, baik sebagai individu atau kelompok dalam masyarakat. Oleh sebab itu, dinamika sosial budaya masyarakat akan mempengaruhi karya senibina. Nilai kebudayaan tersebut akan terungkap dan kelihatan dalam karya wujud senibinanya. Gaya senibina masjid di Alam Melayu merupakan kelahiran dari kefahaman masyarakat yang lahir sesuai dengan kebudayaannya, keadaan geografi, kefahaman agamanya, serta tingkat kecekapan untuk merelisasinya dalam bentuk karya nyata. Dengan demikian senibina sentiasa bersentuhan dengan suatu zaman tertentu dan menjadi aset ekspresi visual setiap kebudayaan.

Masjid merupakan salah satu monumen penting dalam tamadun Islam, masjid dilihat sebagai simbol kehadiran Islam disesebuah kawasan tersebut. Dengan hadirnya masjid masyarakat boleh memahami dan beranggapan bahawa komuniti masyarakat Islam telah mula wujud serta berkembang disesebuah kawasan tersebut. Masjid juga seringkali dirujuk sebagai tempat masyarakat Islam melakukan pelbagai aktiviti dan pertemuan dalam menjalankan pelbagai aktiviti dalam masyarakat Islam pada ketika itu.
Senibina masjid yang berkembang sebelum ini menjadi landasan dan budaya kepada perkembangan masjid dimasa hadapan. Kebanyakkan perkembangan masjid yang berlaku hari ini adalah bertitik tolak dari perkembangan masjid yang berlaku sebelumnya. Bermula dengan pembangunan masjid yang serba sederhana iaitu rumah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan kemudianya berkembang dari satu zaman ke zaman yang seterusnya.

[1] Lihat Tjetjep Rohendi Rohidi,Seminar Nasional Pendekatan-Pendekatan dalam Penenelitian Seni dan Pendidikan Seni, Dies Natalis XXIX, IKIP Semarang, 1992:23
[2] Abdul Rochym, Mesjid Dalam Karya Arsitektur Nasional Indonesia, Angkasa, Bandung, 1983:6
[3] Koentjaraningrat, Pengantar Ilmu Antropologi, Rineka Cipta, Jakarta.1981:248
[4] Koentjaraningrat, Manusia dan Kebudayaan di Indonesia. Djambatan, Jakarta.1993:5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan