Selasa, 16 Jun 2009

Pembentukan Zon Budaya Islam








Pembentukan dan Perkembangan Zon Budaya Islam.

Kebudayaaan Islam turut terbentuk bersama ajaran Islam sudah tentu memberikan gambaran yang berkesan pada setiap negara yang memahami ajaran Islam . Kebudayaan Islam itu kemudiannya secara pasti telah memberi kesuburuan dalam seni bina Islam[1].

Selama masa permulaan Islam (Zaman Rasul dan Khalifah Rasyidin), sesuai dengan keperluan kaum muslim telah banyak didirikan masjid-masjid baik dalam kota ataupun dalam desa, apalagi bila disedari bahawa fungsi masjid tidak hanya sebagai tempat sembahyang, tapi masjid pada permulaaan Islam sebagai tempat ibadat, politik, ekonomi dan kebudayaan[2].

Perkembangan masjid pada waktu itu adalah berdasarkan keadaan sosio ekonomi, politik dan keadaan iklim setempat, oleh yang demikian di awal zaman perkembangan Islam pembangunan masjid amat sederhana.
Menurut A.Hasjmy bahawa bangunan-bangunan yang terdapat di Arab sangat sederhana serta sedikit dan yang terpenting adalah bangunan ‘Ka’abah’ [3].

Setelah Islam mula berkembang serta keadaan Tanah Arab menjadi kaya dan makmur, maka berdatanganlah ke Madinah para ahli dalam binaan bangunan (arkitek) dari luar Tanah Arab. Perkembangan awal corak bangunan masjid adalah dari bentuk yang cukup sederhana, perjalanan sejarah memperlihatkan perkembangan bentuk dari seni bina Islam yang sederhana kearah kemegahan dan kesempurnaan bentuk semata-mata ditinjau dari kepentingan seni binanya sahaja [4].

Abad pertengahan merupakan saat berkembangnya seni bina Islam yang merupakan ungkapan yang mengesankan bagi masyarakat Muslim. Masjid sebagai unsur Islam tidaklah semata-mata berupa bentuk fiziknya saja, akan tetapi didalamnyaa terkandung makna segala kegiatan pelaksanaan ajaran Islam. Dari perkembangan sejak zaman Rasullulah S.A.W yang amat sederhana dan apa adanya, kini telah berkembang pesat menjadi bangunan yang megah, besar dan penuh karisma. Menurut Ibn Kaldun;

“ Tidak ada suatu hal pun yang dapat mengambarkan kebudayaan suatu bangsa, tidak ada yang dapat melahirkan cita-cita dan kebatinan satu kaum, dengan rupa yang lebih jelas, selain dari pertukangaan dan bangunan berbagai-bagai bentuk. Kedudukaan rohani setiap bangsa, pandangan hidupnya, cita-citanya dapat dilihat pada bangunan-bangunan yang didirikan. Tiap bangsa yang mendorong kearah kemajuan pasti mempunyai kepintaran ilmu seni bina (binaan), sebagai bukti betapa tingginya peradapan dan cita-cita kebatinannya.”[5]

Ilmu seni bina yang dimiliki oleh umat Islam diperolehi daripada bangsa Parsi, Romawi, Turki, Byzantine, Sepanyol dan lain-lain[6].

Dengan kepandaian inilah serta latar belakang kebudayaaan yang berbeza mereka melahirkan pelbagai ragam dan bentuk seni bina masjid. Pengaruh Islam begitu jelas pada wilayah takluknya yang baru, namun sebaliknya sifat dan ciri-ciri tradisi yang terdapat tidak pernah dilunturkan begitu sahaja, malahan dijadikan sebahagian dari perkembangaan Islam itu sendiri. Faktor inilah yang bertanggung jawab mencorakkan kebudayaan setempat yang semakin berbagai ragamnya[7].

Menurut Abdul Rochyam pengaruh agama Islam kelihatan pada daerah-daerah jajahannya yang baru itu, namun juga sebaliknya sifat-sifat dan unsur-unsur daerah pun masuk menjadi sebahagian dari perkembangan Islam[8]. Apa sahaja sifat dan ajaran Islam yang terdapat pada adat lama atau tradisional daerah setempat akan memperkayakan seni bina masjid di daerah tersebut. Munculnya bangunan masjid sebagai bangunan keagamaan yang merupakan perpaduan dari fungsi bangunan sebagai unsur seni bina Islam yang berpedoman pada ketentuan-ketentuan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T sebagai tempat pelaksaanaan ajaran Islam. Masjid merupakan bangunan dalam ungkapan tertinggi dari nilai-nilai luhur suatu kehidupan manusia yang juga melaksanakan suatu ajaran syariat Islam. Maka lahirlah seni bina masjid dengan segala kelengkapanya, dari segi bentuk, gaya seni bina, corak dan penampilannya dari kurun waktu, setiap daerah, lingkungan kehidupan dengan adat dan kebiasaanya, serta latar belakang manusia yang menciptakannya.
Azizul Azli Ahmad
FSPU, Perak

[1] Rochym, Abdul. (1983) Sejarah Arsitektur Islam, sebuah tinjauan. Angkasa.Bandung, hlm 50
[2] A.Hasjmy. (1993), Sejarah Kebudayaan Islam. Bulan Bintang. Jakarta, hlm 144.
[3] Ibid. hlm 141
[4] Rochym, Abdul. (1983) Sejarah Arsitektur Islam, sebuah tinjauan. Angkasa.Bandung, hlm 50
[5] Ibnu Khaldun dalam Manja Mohd Ludin dan Mohd Suhaimi.(1995), Aspek-Aspek Kesenian Islam.Dewan Bahas dan Pustaka. Kuala Lumpur, hlm : 25
[6] Manja Mohd Ludin dan Mohd Suhaimi.(1995), Aspek-Aspek Kesenian Islam.Dewan Bahas dan Pustaka. Kuala Lumpur, hlm :25
[7] Ibid , hlm :26-27
[8] Rochym, Abdul. (1983) Sejarah Arsitektur Islam, sebuah tinjauan. Angkasa.Bandung, hlm 2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan