Isnin, 15 Jun 2009

Perbahasan Ciri-ciri Seni Bina Islam











Perbahasan ciri-ciri seni bina Islam

Oleh Azizul Azli Ahmad

Menurut Ibnu Khaldun sebuah peradaban yang baik dilihat dari seni binanya. Apakah Taj Mahal, India yang merupakah kuburan pemaisuri Syah Jahan dengan pembangunkan monumental dan mewah itu dinilai sebagai sebuah seni bina Islam ?

Menurut Bambang Pranggono , Ketua Pusat Bandar Raya Islam dan Petempatan Manusia makam permaisuri Syah Jahan yang berbentuk masjid itu yang lebih dikenali sebagai Taj Mahal bukan merupakan simbol seni bina Islam.

Dalam syariat Islam pembangunan kuburan atau makam yang berlebihan adalah dilarang dalam Islam.

Apakah dengan hadirnya kubah pada bumbung sesebuah bangunan sudah dianggap sebagai sebuah seni bina Islam?. Islam sendiri tidak pernah meletakkan sebuah kepastian apakah seni bina Islam tersebut. Di dalam al-Quran dan Hadis Rasullulah s.a.w. tidak dijelaskan secara terperinci dan jelas apakah bentuk dan seni bina Islam.

Kubah sendiri bukannya berasal daripada kebudayaan Islam. Semasa perkembangan dan penyebaran Islam, kerajaan-kerajaan bukan Islam seperti Byzantin telah memiliki monument seni bina yang agung dan mewah.
Pemerintah Islam pada ketika itu merancang pembangunan masjid dan kota yang tidak akan tenggelam dengan kehebatan seni bina bukan Islam sebelumnya.

Oleh yang demikian, pemerintah Islam memerlukan tenaga pakar bangunan dari golongan bukan Islam untuk tujuan tersebut. Pembangunan Kubbah As-Sakrah (Dome of The Rock) di Jurusalem pada tahun 687M oleh pemerintah Dinasti Umayah, Abdul Al-Malik merupakan seni bina kubah terawal dalam Islam dengan pengaruh seni bina Byzantine yang telah dimodifikasi berdasarkan keperluan Islam.

Islamnya sesebuah karya seni bina itu dilihat dari pelbagai sudut pandangan, ada pendapat yang mengatakan bahawa secara dasarnya seluruh makhluk dialam ini sama ada binatang, tumbuh-tumbuhan ataupun benda mati termasuklah bangunan sudah Islam.

Hanya manusia dan jin yang menentukan menjadi Islam atau bukan Islam. Kerana seni bina merupakan objek yang tidak bernyawa, jadi semua seni bina dengan sendirinya Islam.

Namun, falsafah Islam tidak hanya memandang sesuatu hanya cukup dari segi zahirnya, maka batinnya juga dinilai. Dalam sebuah hadis Sesungguhnya Allah tidak memandang rupamu dan hartamu tetapi kepada hatimu dan amalmu.
Jelaslah kepada kita bahawa niat, proses pembagunan, sumber kewangan, kesan pembangunan dan perilaku-perilaku dalam pembangunan tersebut turut menjadi perhitungan Allah s.w.t. Kriteria ini haruslah berdasarkan syariat Islam, baik zahir mahupun batin. Seni bina menjadi Islam seandainya di dalamnya tidak terdapat unsur-unsur kemusyrikan, kezaliman, kemunafikan dan kekafiran didalamnya.

Menurut ahli seni bina Bambang Pranggono, beliau menetapkan kategori seni bina Islam berdasarkan bentuk luaran bagunan dan fungsi dalaman seperti berikut:

1. Bentuk luaran Islami, fungsi dalaman Islami - Seni bina Kaaffah.

2. Bentuk luaran Islami, fungsi dalaman tidak Islami - Seni bina Munafik.

3. Bentuk luaran tidak Islami, fungsi dalaman Islami - Seni bina Taqiyyah.

4. Bentuk luaran tidak Islami, fungsi dalaman tidak Islami - Seni bina Kafir.

Walaupun demikian masih memerlukan beberapa penelitian terhadap proses dan unsur yang terlibat dalam kewujudan sesebuah karya seni bina Islam.
Seni bina Islam haruslah dinilai dari kreteria umum kemudianya dilanjutkan kepada kreteria khusus tentang ciri-ciri yang disebutkan dan apakah menurut landasan dan syariat-syariat Islam.

Taj Mahal, India bukanlah merupakan sebuah masjid tetapi seringkali sejarawan memasukkan kedalam kategori masjid.
Kubbah As-Sakrah di Baitulmaqdis merupakan seni bina kubah terawal dalam Islam seringkali dikaitkan dengan pembagunan masjid sedangkan fungsinya melindungi batu besar sewaktu peristiwa Israk-Mikraj Nabi Muhammad s.a.w.

Begitu juga dengan Istana Alhambra, Bangunan Sultan Abd. Samad dengan kubah bawangnya, dijadikan rujukan para arkitek untuk membangunkan monumen penting negara. Masjid Negara, Kuala Lumpur merupakan satu contoh seni bina Islam yang baik dan demokratik. Menurut Dr. Tajuddin Rasdi, Pendekatan regionalisme (bahasa daerah) yang digunakan boleh dijadikan ideologi seni bina Islam di Nusantara.

Para arkitek perlulah memahami serta `mengenali' apakah yang sesungguhnya dianggap dengan seni bina Islam itu. Pendekatan reka bentuk ekletisme dan revivalisme dari budaya asing (Timur Tengah dan India) menunjukkan kompleks rendah diri yang ada pada umat Islam di Malaysia.

- AZIZUL AZLI AHMAD, Program Pascasarjana Arsitektur. Institut Teknologi Bandung (ITB). Indonesia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan