Isnin, 15 Jun 2009

Senibina Masjid - Antara fungsi dengan simbolisme







Senibina masjid - Antara fungsi dengan simbolisme




Oleh AZIZUL AZLI AHMAD




MASJID Quba adalah masjid yang mula-mula dibina oleh Rasulullah s.a.w.
MASJID bermaksud tempat bersujud atau bersolat, yang berasal daripada perkataan sajada.
Dalam pengertian ini masjid bukan hanya sebagai tempat solat tetapi sebagai tempat ibadah dalam pengertian yang luas.

Dalam memenuhi fungsi tersebut, perlu ada keseragaman di dalam bahasa senibina untuk tujuan beribadah dengan fungsi bangunan.
Berdasarkan kepada perkembangan senibina masjid, kini dapat diklasifikasikan masjid kepada empat kategori:

1. Masjid dengan penampilan reka bentuk berkubah seperti senibina yang terdapat di al-Hamra, Sepanyol atau Asia Barat.

2. Masjid dengan penampilan reka bentuk yang diadaptasikan daripada kebudayaan setempat seperti di Jawa, China dan lain lain.

3. Masjid generasi pertama yang dibangunkan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

4. Masjid dengan bentuk penampilan moden atau keluar daripada gaya senibina yang klasik.

Adanya keempat-empat klasifikasi ini menandakan bahawa senibina masjid lebih bebas jika dibandingkan dengan senibina bangunan keagamaan yang lain.
Meskipun demikian dalam hal pembinaan masjid terdapat beberapa perkara asas yang perlu di pentingkan iaitu sebagai tempat ibadat. Ibadat di sini bukannya dalam erti kata solat semata-mata sebaliknya mempunyai pengertian yang luas tentang konsep ibadat.
Membaca, menuntut ilmu, memakai pakaian yang indah, berseloka bersama isteri juga dinilai sebagai ibadat, seandainya dibatasi perilaku yang ditetapkan oleh syariat.

Di dalam senibina antara unsur yang sering diperhatikan merupakan bumbung bangunan tersebut, unsur ini paling kuat memberikan karakter kepada sesebuah senibina.
Bayangkan bangunan Perpustakaan Negara tanpa bumbungnya, bagaimana jika Panggung Negara yang dikatakan menggunakan sirih junjung tanpa junjungannya, apakah masih berfungsi sebagai Panggung Negara? Bumbung bukan sahaja berfungsi sebagai melindungi panas dan hujan semata mata tetapi juga menjadi media ekspresi estetika dan perlambangan .
Dalam sejarah perkembangan kebudayaan Islam, masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat solat semata mata. Rasulullah dalam membina masyarakat menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat Islam pada ketika itu. Meskipun demikian, masjid sebagai tempat suci tetap terpelihara kesuciannya.
Oleh kerana itu terdapat perkara-perkara tertentu yang dilarang dilakukan di masjid.
Salah satu hadis pernah menyebut bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melarang orang ramai berurusan jual-beli di masjid meskipun dengan secara lisan (seperti perjanjian jual beli), dan Baginda Rasulullah menyuruh orang yang melihat agar semoga Allah tidak memberikan keuntungan kepada orang yang berjual-beli di masjid. (Riwayat Tirmizi daripada Abu Hurairah).

Firman Allah di dalam al-Quran surah al-Jumuah ayat 9-10 menyebut: Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingatkan Allah (solat) dan tinggalkanlah jual-beli. Kerana yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahuinya.
Apabila telah menunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah kurniaan Allah serta sentiasa mengingati Allah banyak banyak supaya kamu memperoleh keuntungan.

Dalam ayat di atas jelas sekali bahawa amalan berjual beli haruslah dilakukan di luar masjid. Dalam hadis yang lain Nabi Muhammad s.a.w. amat melarang orang yang berada di dalam masjid mengeraskan suaranya, meskipun ketika sedang membaca al-Quran, kerana suara yang keras dapat mengganggu orang yang sedang solat.

Dengan demikian jelaslah bahawa meskipun masjid mempunyai banyak fungsi, tetapi dalam perkara-perkara tertentu ada yang dilarang keras untuk dilakukan di dalam masjid.

Sehubungan dengan fungsi masjid sebagai pusat aktiviti umat Islam, maka bahasa senibina yang digunakan seharusnya diterima mudah masyarakat setempat. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. masjid yang mula-mula dibina merupakan Masjid Quba, senibinanya sangat sederhana, berbentuk segi empat dengan bahagian hadapannya ditutupi dengan atap daripada pelepah kurma, sedangkan di bahagian belakang tidak berbumbung langsung. Bentuk ini kemudiannya dijadikan dasar serta panduan kepada senibina masjid seterusnya.

Dalam perkembangan kini, bersesuai dengan pemikiran manusia yang melalui proses transformasi, senibina masjid juga mengalami perubahan dan perkembangan dalam memenuhi fungsinya sebagai sebuah masjid .

Dalam sesebuah masjid terdapat khusus tempat solat yang disebut livan, di bahagian kiri dan kanan livan terdapat bangunan memanjang yang disebut ruwak. Bahagian bahagian ini berfungsi sebagai tempat persinggahan musafir untuk beristirehat, tempat untuk mengaji al-Quran dan tempat bermusyawarah. Di tengah-tengah ruang masjid terdapat ruang terbuka (tanpa bumbung) yang disebut shan.

Halaman ini berfungsi sebagai tempat perhimpunan dalam kelompok yang ramai dan kadang kala digunakan juga untuk tujuan latihan peperangan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Susun atur ruang masjid Islam di Nusantara tidak mempunyai ruang halaman lapang (shan) seperti yang biasa terdapat di Asia Barat. Masjid Kampung Laut di Kota Baru (dibina sekitar 1700 Masihi) dan Masjid Agung Demak (1479M), di Jawa Tengah lebih memberikan penekanan kepada ruang tengah atau dewan sembahyang yang didirikan di bawah bumbung berbentuk piramid atau atap tumpang yang mempunyai tiga lapisan bumbung.

Pada masjid-masjid lama biasanya terdapat kolam (parit) yang mengelilinginya, selain berfungsi sebagai tempat berwuduk juga dikatakan merupakan lambang samudera, Doktrin kosmologi pada ajaran Hindu dan Buddha yang menyatakan bahawa alam ini dikelilingi oleh tujuh samudera yang berpusat di Mahameru, dengan demikian lengkaplah bahawa masjid merupakan lambang makrokosmos.

Di samping berfungsi sebagai masjid, ia juga mengandungi makna simbolisme yang berisi ajaran-ajaran Islam. Unsur-unsur simbolisme tersebut banyak tersimpan pada bentuk senibina masjid dan hiasan yang terdapat pada bangunan masjid, sama ada yang bersifat konstruktif mahupun dekoratif.
Prinsip rekabentuk Masjid Kampung Hulu, Melaka adalah berasaskan rekabentuk Masjid Agung Demak, namun bentuk menara dan bumbung Masjid Kampung Hulu mirip kepada bentuk pagoda (rumah ibadat Cina) atau gaya senibina Cina.

Mengenai bentuk atap bertingkat (tumpang), merupakan adaptasi daripada bangunan Meru yang banyak dikenali semasa pra-Islam. Menurut Saekomo, atap tumpang merupakan perkembangan daripada bentuk candi yang denahnya bujur sangkar dan selalu bersusun, atau dari puncak bangunan stupa yang ada kalanya disusun sebagai payung-payung yang terbuka.

Bagaimanapun Hamka mentafsirkan makna simbolisme atap tumpang sebagai tingkat ajaran sufiesme. Atap tingkat paling bawah serta lantai merupakan lambang syariat dan amalan perbuatan manusia, atap tingkat kedua lambang tarekat iaitu jalan untuk mencapai keredhaan Allah, atap tingkat ketiga lambang hakikat iaitu roh atau hakikat daripada amalan perbuatan manusia, dan puncak merupakan lambang makrifat, iaitu tingkat mengenai Allah yang maha tinggi.

Pada bahagian puncak atap masjid biasanya terdapat hiasan atau simbol berbentuk bulan bintang, lafaz Allah dan sebagainya. Bulan bintang merupakan lambang cita-cita perkembangan Islam, lambang ini mula muncul semasa pemerintahan Umar bin Khattab, ketika itu kawasan di sekitar Laut Tengah dianggap sebagai pusat peradaban dunia.

Jika kawasan itu dijadikan sebagai titik pusat dan kemudiannya ditarik garis lengkung dari Eropah hingga seluruh kawasan Asia akan membentuk bulan sabit.

Cita-cita perkembangan Islam ketika itu berpusat di Jerusalem dan disebarkan ke Eropah melalui Selat Bhosporus dan Konstantinopel, ke arah timur melalui Iraq hingga kawasan Asia Tenggara.
Pada pertemuan dua lingkungan ini terdapat bintang bersudut lima sebagai lambang Islam dan rukun-rukunnya yang gemilang ketika itu.
Tulisan lafaz Allah pada puncak atap memperlihatkan bahawa Allah Maha Tinggi sering dalam perwujudan dan perlambangannya lafaz Allah berdiri sendiri tanpa dilingkupi bentuk lain.

Perkara ini melambangkan Allah sahaja yang diingati atau dituju semasa bersolat. Allah merupakan zat yang maha tinggi dan maha segala galanya. Allah tidak dilingkupi oleh unsur-unsur lain tetapi melingkupi unsur-unsur yang ada di alam ini.

Kebanyakan masjid moden hari ini menggunakan kubah sebagai perlambangan masjid. Kubah bukannya syarat dalam pembinaan bangunan masjid serta wajib atau sunat dalam amalan Islam. Pembangunan kubah dalam sesuatu masjid hendaklah diperhatikan menurut ketentuan bangunan masjid tersebut agar pembinaan kubah tidak sehingga membazir, tidak mengganggu imam ketika bacaan dalam sembahyang serta khutbah dan sebagainya.

Namun demikian masyarakat Islam hari ini menganggap bangunan berkubah sebagai identiti masjid. Ini merupakan kegagalan para arkitek di Malaysia dengan membentuk suatu perlambangan yang dianggap `wajib' oleh umat Islam. Allah melarang keras perkara-perkara yang membazir sebagaimana firmannya: Dan janganlah engkau membazir hartamu secara tidak bermanfaat. (Al-Isra 17:26)

Sesungguhnya orang yang membazir hartanya itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya. (Al-Isra 17:27)
Setiap bangunan masjid seharusnya memiliki perlambangan serta fungsi yang tersendiri secara fungsional dan optimal, dalam menggunakan setiap bahagian tanah ataupun bahan binaan untuk pembangunan masjid hendaklah dihindari daripada kemungkinan berlebih-lebihan sebagaimana firman Allah: Dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan. (Al-An`am 6:141)

Perkara ini juga bukannya bererti bahawa sesuatu bangunan masjid harus dibangunkan dengan bahan binaan dan biaya yang sangat murah dan rendah, kerana setiap perbelanjaan harta dengan cara kedekut (bakhil) juga tidak dibenarkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya: Dan orang yang apabila membelanjakan harta, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil (kikir), akan tetapi perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.
(Al-Furqan 25:67)

- AZIZUL AZLI AHMAD, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Cawangan Perak.

2 ulasan:

  1. salam
    maaf tiba muncul dalam ruangan ini, saya berhasrat ingin meminta bantuan jika penulisan saya disetujui dan juga saya cuba mendalami seni bina Islam secara umum dan khususnya masjid di borneo dan sarawak di masa akan datang di harap kita dapat bekerjasama dalam berkonsi info, maklumat dalam penulisan ini, maaf sekali lagi.. mudah2an Allah memudahkan segalanya

    sekian

    sophian
    CITU UiTM Sarawak Kampus Mukah

    BalasPadam
  2. terima kasih. memberi pengalaman bacaan yang seterusnya kepada saya dalam mengenali aspek simbolisme dan aspek estetika. saya begitu meminati bidang ini.

    Kesuma Jiwa
    UPSI, Tg. Malim

    BalasPadam