Selasa, 16 Jun 2009

Toleransi Islam Menghasilkan Pelbagai Reka Bentuk Masjid











Toleransi Islam

Dalam Al-Quran dan hadis tidak ditentukan ketentuan tentang bagaimana bentuk dan seni bina masjid itu harus dibangunkan . Hal ini menunjukkan Al-Quran dan hadis mempunyai nilai mutu serta toleransi yang tinggi. Sebab bentuk bangunan itu pasti berkaitan rapat dengan fungsinya. Pembinaan bangunan masjid juga sangat erat dipengaruhi oleh lokasi tempat ianya dibina dan era waktu ianya didirikan. Faktor lain adalah gaya atau model bangunan juga turut mempengaruhi reka bentuknya[1] . Dalam mereka bentuk seni bina masjid selaian elemen fungsi menjadi keutamaan bagi memenuhi kegiatan aktivitinya, faktor lambang atau simbol yang digunakan menjadi persoalan utama. Persoalan apakah lambang dalam bentuk tata cara atau perilaku fizikal yang menjadi pilihan utama didalam menzahirkan reka bentuk masjid tersebut.

Antara beberapa suruhan Islam yang penting kepada umatnya ialah berfikir. Banyak ayat yang terdapat di dalam Al Qur'an yang bertujuan merangsang dan menyuruh umatnya berfikir. “Apakah kamu tidak berfikir?” “Apakah kamu tidak mengerti?”, “di dalamnya ada tanda-tanda bagi mereka yang mengerti” dan sebagainya. Begitulah murninya ajaran Islam yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. dan yang tercatat di dalam Al-Qur’an. Dari Makkah ke Madinah ... dan dari sana Islam berkembang ke seluruh pelosok Tanah Arab, Iraq, Syria, Turki, Afrika Utara hingga ke Sepanyol. Di mana sahaja ia bertapak kebudayaan Islam turut terbentuk bersama ajaran Islam itu sendiri. Kebudayaan yang kemudiannya secara sedar telah menumbuh-suburkan seni bina Islam yang secara sendiri pula memberikan pengaruh berkesan pada segenap penghidupan di negara itu [2].

Begitulah juga terjadi pada masjid sebagai unsur utama dan penting didalam seni bina Islam yang turut serta mengalami perkembangan. Faktor perkembangan ini dipercepatkan lagi dengan kehadiran pelbagai kelengkapan yang merupakan unit-unit mendatang dan baru dalam seni bina masjid. Satu perkara yang terpenting diperkatakan, di mana saja seni bina Islam berkembang ia akan berhadapan dengan proses akulturasi dengan bentuk dan seni bina tempatan. Menurut Abdul Rochym pembangunan masjid secara besar-besaran dan semegah-megahnya merupakan faktor toleransi dalam Islam asalkan tujuan utama pembangunan masjid itu tidak disisihkan [3].

Adalah satu perkara yang menarik apabila seni bina Islam begitu mudah diserapkan ke dalam seni bina tempatan dengan baik dan menyenangkan melalui satu perpaduan yang aman dan harmoni. Perkara sebegini tidak hanya terbatas pada bangunan bangunan masjid sahaja malahan termasuk binaan-binaan lain seperti istana, makam, rumah kediaman, kota dan sebagainya. Menurut Manja Mohd Ludin dan Mohd Suhaimi dalam tulisannya Aspek-Aspek Kesenian Islam, seni bina Islam mengalami dua tempoh perkembangan oleh bangsa Arab dan perkembangan oleh bangsa Turki [4].
[1] Ali Kusnun, (1995), Unsur-Unsur Filosofis Seni Bangunan Masjid Agung Demak. Semarang, hlm:19
[2] Manja Mohd Ludin dan Mohd Suhaimi.(1995), Aspek-Aspek Kesenian Islam.Dewan Bahas dan Pustaka. Kuala Lumpur, hlm :38
[3] Rochym, Abdul. (1983) Sejarah Arsitektur Islam, sebuah tinjauan. Angkasa.Bandung, hlm 4
[4] Manja Mohd Ludin dan Mohd Suhaimi.(1995), Aspek-Aspek Kesenian Islam.Dewan Bahas dan Pustaka. Kuala Lumpur, hlm :39

Tiada ulasan:

Catat Ulasan